Mark merupakan seorang pastor muda yang berpotensi tinggi. Pada suatu pagi, anaknya, Owen, rebah dan mati ketika menendang bola bersamanya. Hati Mark sangat kecewa dan bersedih atas kehilangan itu. Tetapi melalui kesakitannya itu dia menjadi pastor yang lebih berbelas kasihan. Saya berkabung bersama Mark dan tertanya-tanya jika ujian hidup yang dialaminya menggambarkan pandangan ahli teologi A. W. Tozer yang menyatakan: “Jika Tuhan tidak menyakiti seseorang secara mendalam, mungkin sukar bagi orang itu mengalami berkat-Nya yang luar biasa.” Nampaknya kenyataan itu benar.
Tetapi kenyataan ini mungkin tidak semudah itu. Kita belajar betapa rumitnya jalan Tuhan dengan melihat kisah keluaran orang Israel dari tanah Mesir. Tuhan memimpin bangsa itu keluar dari Mesir melalui jalan yang mudah, dengan berkata tentang Israel, “Jangan-jangan bangsa ini menyesal apabila mereka menghadapi peperangan, lalu kembali ke Mesir” (Keluaran 13:17). Namun dalam beberapa ayat kemudian, Tuhan memberitahu Musa untuk berundur supaya Firaun mengumpulkan tenteranya dan keluar untuk berperang (14:1-4). Firaun mengambil umpan itu. Orang Israel “sangat ketakutan, lalu mereka berseru kepada TUHAN” (ayat 10). Musa menegur mereka, “TUHAN akan berperang untuk kamu, dan kamu hanya perlu berdiam sahaja” (ayat 14).
Tuhan menggunakan jalan yang mudah dan jalan yang sukar supaya umat-Nya bertumbuh dalam iman dan memuliakan-Nya. Dia berjanji, “kemuliaan-Ku akan dinyatakan melalui Firaun dan seluruh pasukannya, sehingga warga Mesir tahu bahawa Akulah TUHAN” (ayat 4). Apa yang berlaku kepada umat Isreal, demikian juga dalam kehidupan kita. Tuhan sedang membina iman kita melalui setiap ujian hidup, sama ada senang atau susah. Apabila hidup kita senang, berehatlah dalam Tuhan. Ketika hidup kita susah, bersandarlah pada pertolongan-Nya.