Sebuah cerita rakyat mengisahkan seorang wanita membawa air pulang setiap hari dari sungai dengan menggunakan dua buah baldi yang diangkut di kedua-dua hujung sebatang kayu panjang—sebuah baldi baru dan tahan, yang satu lagi sudah lama dan bocor. Apabila wanita itu sampai ke rumah, baldi baru masih penuh, tetapi baldi lama hampir kosong. Baldi lama berasa tidak sedap hati dan meminta maaf. Wanita itu berpaling dan menunjuk ke belakang jalan serta bertanya kepada baldi tua itu, “Adakah kamu melihat semua bunga itu, yang tumbuh di jalan yang kamu lalui? Setiap hari kamu menyiram bunga-bunga tersebut, sebab itu perjalananku pergi dan pulang dari sungai sentiasa dipenuhi dengan keindahan.”
Kita hidup di dunia yang memuja dan memberi ganjaran kepada usia muda—masih “hijau” dan kuat, wajah yang berseri-seri dan cekap. Namun Alkitab dengan jelas memberitahu kita tentang keindahan yang benar yang datang daripada yang lebih tua dan lebih lemah, bahkan mungkin yang pecah dan bocor. “Orang yang benar akan subur seperti pokok palma,” kata penulis lagu lama, “dia akan tumbuh seperti pokok araz di Lebanon” (Mazmur 92:12).
Memang, kita jarang akan mengaitkan perkataan bijak dengan perkataan tua, tetapi orang yang tua mampu menyumbang kehidupan kita dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh golongan muda kerana mereka telah hidup lebih lama, lebih berpengalaman, serta lebih berakar dan bertumbuh dalam iman dan kepercayaan kepada Tuhan. Orang seperti itu “akan tetap berbuah pada usia tua, mereka akan tetap segar dan subur” (ayat 14).
Orang dewasa yang lebih tua dalam hidup kita terus membuahkan hasil yang indah. Marilah meluangkan masa untuk memperhatikan keperluan dan menjaga kebajikan mereka.