Lukisan terkenal, Let My People Go (Biarkan Umat-Ku Pergi) oleh Aaron Douglas menggunakan warna-warna cerah lavender, hijau dan emas, bersama-sama dengan imej tradisional Afrika, untuk menceritakan kisah Alkitab tentang Musa dan menghubungkannya dengan perjuangan orang kulit hitam Amerika untuk kebebasan dan keadilan.
Lukisan itu menggambarkan penampakan Tuhan kepada Musa dalam belukar yang bernyala-nyala ketika Dia memberitahu bahawa Dia telah melihat kesudahan orang Israel di Mesir. Pelukis ini menggunakan pancaran cahaya untuk melambangkan Tuhan dan mesej-Nya, “Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir” (Keluaran 3:10).
Dalam lukisan Let My People Go, Musa berlutut sebagai tanda taat kepada perintah Tuhan, tetapi matanya tertuju kepada ombak gelap dan kuda-kuda yang dilatih untuk berperang di sekelilingnya—mengingatkan orang yang melihat lukisan tersebut tentang perjuangan yang akan dihadapi oleh orang Israel semasa mereka meninggalkan Mesir. Tetapi pancaran cahaya yang bersinar terang dalam lukisan adalah sebagai peringatan bahawa Tuhan akan menyertai orang Israel.
Kita boleh turut merasakan emosi yang ditimbulkan oleh lukisan itu disebabkan oleh perjuangan menentang ketidakadilan berterusan; banyak orang menggunakan kuasa mereka untuk menindas lelaki, wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia. Ketika mereka yang menderita berseru kepada Tuhan untuk menjadi “tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan” (Mazmur 9:9), kita boleh memohon kepada Tuhan untuk menjawab seruan mereka yang meminta pertolongan. Seperti Musa, kita juga boleh bersedia untuk bertindak bagi pihak yang tertindas.