Saya dan isteri suka menonton filem romantik yang bersahaja dan menyenangkan. Saya boleh katakan itu ialah minatnya. Tetapi saya juga menyukainya. Daya tarikan filem-filem romantik ini terletak pada jalan ceritanya yang boleh diramalkan ke arah kebahagiaan selama-lamanya. Baru-baru ini, kami menonton sebuah filem yang menawarkan beberapa nasihat romantis yang boleh dipersoalkan. Cinta merupakan perasaan, katanya. Kemudian, ikut kata hati anda. Akhirnya, kebahagiaan anda paling penting. Emosi kita penting, sudah tentu. Tetapi emosi yang mementingkan diri sendiri merupakan asas yang buruk untuk memiliki perkahwinan yang berkekalan.
Budaya arus perdana menghasilkan banyak idea yang kelihatan baik pada mulanya tetapi mudah hancur musnah apabila diperiksa dengan lebih dekat. Pemeriksaan yang teliti, itulah maksud Paulus dalam Kolose 2. Dia menegaskan orang Kristian harus “berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman” (ayat 7), kerana ini akan membolehkan kita mengecamkan pembohongan budaya kita. Dia memanggil pembohongan sedemikian sebagai “falsafah dan tipu daya yang sia-sia,” dibina atas “adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut Kristus” (ayat 8).
Jadi lain kali apabila anda menonton filem, tanyalah diri anda atau orang yang bersama anda, “Apakah cadangan bijak yang terdapat dalam filem ini? Bagaimanakah hal itu dibandingkan dengan apa yang dikatakan oleh Kitab Suci?” Ingatlah bahawa Kristuslah yang paling penting. Hanya dalam Dia kita dapat menemukan kebijaksanaan dan keutuhan sejati (ayat 9-10).