Rumah kami memerlukan pengubahsuaian disebabkan dapurnya sudah rosak dan lantainya tenggelam. Selepas sebahagian besarnya dirobohkan, pekerja mula menggali asas baharu. Kemudian keadaan dapur kami menjadi lebih menarik.

Semasa para pekerja menggali, mereka menyodok banyak pinggan pecah, botol soda era 1850-an, malah peralatan dapur muncul. Adakah rumah kami dibina di atas sebuah tempat pembuangan sampah lama? Siapa tahu, tetapi kesannya, jurutera kami mengatakan bahawa asas rumah kami perlu digali lebih dalam kerana jika tidak, retakan akan muncul pada dinding rumah kami.

Asas yang baik menghasilkan rumah yang kukuh. Begitu juga dengan kehidupan kita. Apabila orang Israel gementar kerana musuh mereka, Yesaya berdoa agar mereka kekal kuat (Yesaya 33:2-4). Tetapi kekuatan mereka bukan datang daripada keberanian atau senjata, tetapi dengan membina kehidupan mereka dalam Tuhan. “Pada zamanmu akan ada keamanan, kelimpahan penyelamatan, kebijaksanaan, dan pengetahuan. Takut kepada TUHAN, itulah harta Sion” kata nabi itu (ayat 6). Yesus mengatakan sesuatu yang serupa, mengajar bahawa mereka yang membina hidup mereka atas hikmat-Nya, akan tahan menghadapi badai kehidupan (Matius 7:24-25).

Apabila keretakan hidup seperti keagresifan, ketagihan, atau masalah perkahwinan muncul dalam hidup kita, inilah tanda yang pasti bahawa kita perlu memerhatikan asas hidup kita. Apabila kita mencari keselamatan di tempat yang tidak memberikan perlindungan atau mengikut kebijaksanaan zaman ini sahaja, kita akan berada di tanah yang goyah. Tetapi mereka yang membina hidup mereka berasaskan Tuhan, mereka akan memperoleh kekuatan dan kekayaan dalam Tuhan (Yesaya 33:6).