Selepas melihat arca seramik bertaraf dunia di sebuah muzium seni, saya dijemput untuk mencipta “karya agung” saya sendiri daripada tanah liat kering. Saya menghabiskan dua jam untuk membentuk mangkuk kecil, mengukir corak dan melukisnya. Namun hasil daripada semua kerja keras saya kurang mengagumkan: tembikar kecil yang cacat dan warna yang tidak sekata. Nampaknya karya saya ini pasti tidak akan dipamerkan di muzium dalam masa terdekat.
Menjalani standard hidup yang tinggi adalah sangat mencabar. Para imam Israel mengalami hal ini semasa mereka cuba mengikuti perintah Tuhan untuk menjadi suci dalam upacara mereka (Imamat 22:1-8) serta mentaati arahan tambahan mengenai korban (ayat 10-33). Tugas imam adalah menjadi suci—diasingkan—tetapi walaupun mereka berusaha sedaya upaya, mereka sering gagal mencapai standard itu. Sebab itulah Tuhan akhirnya meletakkan tanggungjawab ini di bahu-Nya sendiri supaya mereka menjadi suci: “Akulah TUHAN yang menyucikan [para imam],” kata-Nya berulang kali kepada Musa (22:9, 16, 32).
Yesus ialah Imam Besar kita yang sempurna dan Dialah satu-satunya korban yang suci dan diperkenankan untuk menebus kita daripada hukuman dosa melalui kematian-Nya di kayu salib. Dia berdoa, “Aku membaktikan diri-Ku sendiri untuk memenuhi keperluan-keperluan mereka, agar mereka tumbuh di dalam kebenaran dan kesucian” (Yohanes 17:19, FAYH). Apabila kita berasa bahawa kita sudah berusaha sedaya upaya untuk hidup benar tetapi hasilnya hanyamenjadi seperti tembikar kecil itu, janganlah rasa kecewa, kita boleh berehat dalam pekerjaan sempurna yang telah diselesaikan oleh Yesus dan bergantung pada kuasa Roh Kudus untuk hidup bagi Dia.