“Anda tahu Yesus mengasihi anda. Dia sangat mengasihi anda.” Itulah kata-kata terakhir John Daniels. Hanya beberapa saat selepas dia memberi wang kepada seorang pemuda yang tidak berumah dan menyatakan kata-kata perpisahan itu, dia telah dilanggar oleh sebuah kereta dan meninggal dengan serta-merta. Dalam buletin upacara peringatan untuk John, tertulisnya kata-kata ini: “Dia selalu memikirkan cara untuk bersaksi imannya kepada lebih ramai orang, jadi pada suatu petang hari Ahad, John cuba membantu seorang lelaki yang ada keperluan, dan Tuhan memberinya jalan untuk bersaksi kepada dunia ini. Semua saluran TV tempatan menyiarkan berita itu, dan seterusnya menjangkau rakan, keluarga dan ramai lagi di seluruh negara.”

Walaupun John Daniels bukan seorang penginjil, dia tergerak untuk memberitahu orang lain tentang Yesus. Begitu juga Paulus. Dalam Kisah Rasul-rasul 20, Paulus menyatakan semangatnya untuk berkongsi Injil dalam kata-kata perpisahannya kepada para pemimpin gereja di Efesus: “Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah” (ayat 24).

Berita baik tentang pengampunan dan kehidupan baharu dalam Yesus adalah terlalu baik untuk tidak dikongsi dengan orang lain. Sesetengah orang percaya lebih mahir dalam menerangkan Injil daripada yang lain. Tetapi dengan pertolongan Roh Kudus, semua orang yang telah mengalami kuasa-Nya yang mengubah hidup juga dapat menceritakan kisah mereka tentang kasih Tuhan.