Pada suatu hari di gereja, saya menyambut sebuah keluarga yang datang berkunjung. Saya melutut di sebelah kerusi roda anak perempuan mereka yang kurang upaya untuk memperkenalkan anjing khidmat saya, Callie, kepadanya dan memuji cermin mata serta kasut but merah jambunya yang cantik. Walaupun dia tidak mengeluarkan sebarang kata, senyumannya memberitahu saya bahawa dia menikmati perbualan kami. Seorang lagi kanak-kanak perempuan menghampiri kami, tetapi malu untuk mengadakan kontak mata dengan kawan baharu saya. Dia berbisik, “Sila beritahu dia bahawa saya suka pakaiannya.” Saya pun berkata, “Kamulah yang beritahu dia. Dia baik hati, sama macam kamu.” Saya menerangkan kepadanya bahawa mudah sahaja untuk bercakap dengan kawan baharu kami itu walaupun cara komunikasinya adalah berbeza, dan hanya dengan cara memandang serta tersenyum kepadanya, kami dapat membantu kawan baharu kami itu berasa diterima dan dikasihi.

Dalam Kitab Suci dan di dunia ini, ada orang kerap diketepikan kerana mereka dianggap sebagai berbeza. Walau bagaimanapun, Tuhan kita yang agung menerima perbezaan kita dan mengajak kita menjalin hubungan dengan Dia serta keluarga-Nya. Dalam Mazmur 138, Daud berkata, “Aku akan memuji-Mu dengan seluruh hatiku, ya TUHAN; di hadapan “tuhan-tuhan” aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu” (ayat 1). Katanya lagi, “TUHAN Maha Tinggi” namun, Dia “mengambil berat tentang orang yang dihinakan” (ayat 6).

Tuhan, yang Maha Tinggi dan suci, memandang kita, yakni makhluk ciptaan-Nya dengan penuh kasih, terutamanya apabila kita merendahkan diri kita. Apabila kita meminta Dia untuk membantu kita mempedulikan dan berlaku baik terhadap orang lain, kita dapat bersyukur kepada-Nya kerana Dia mengesahkan bahawa sungguhpun kita orang yang hina, namun kita tetap dikasihi-Nya!