Isaac Watts merupakan seorang penggubah lagu pujian yang agung sepanjang zaman. Dia telah menggubah lagu pujian yang bertajuk “Memandang Salib yang Agung, KRI 211” (When I Survey the Wondrous Cross). Watts menggunakan kata-kata paradoks yang puitis dalam gubahan liriknya untuk menunjukkan kontras dalam pelbagai tema: “Kemuliaan pada diriku” dan “hanya kehinaan belaka.” Gaya penulisan ini yang kadang-kadang disebut sebagai oksimoron, yang bermaksud, “gabungan kata yang maknanya bercanggahan—misalnya “dahsyat bagusnya” dan “udang jumbo.” Dalam penulisan lirik Watts, kata-kata paradoks yang puitis ini jauh lebih menyerlah.
Yesus juga sering menggunakan paradoks. “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian” (Matius 5:3), Dia menyatakan bahawa mereka yang tidak mempunyai harapan akan menerima jauh lebih banyak daripada apa yang diharapkan mereka. Apabila saya atau anda meratapi kehilangan orang kesayangan dan bersedih, Yesus berkata bahawa kita “akan terhibur” (ayat 4). Kristus menunjukkan bahawa peraturan biasa kehidupan di dunia tidak berlaku dalam kerajaan Tuhan.
Paradoks ini memberitahu kita bahawa hidup dalam Kristus menolak segala jangkaan: kita yang bukannya orang penting dihargai sebagai orang penting. Di atas kayu saliblah Yesus menanggung paradoks yang dapat dilihat ini—sebuah mahkota duri. Isaac Watts mengambil simbol ejekan ini dan, secara paradoks, memberinya keindahan yang begitu agung: “Duka, pedih berangkulan/ mahkota duri menyaksikan” Dalam lirik ini, kita berasa terharu namun tetap mengingati baris akhir lagu pujian tersebut: “Kasih kudus menuntutku, / jiwaku dan hidupku bagi-Nya.”
