Apabila Todd Billings, seorang ahli teologi didiagnosis dengan kanser darah yang tidak dapat diubati, dia menggambarkan dia yang berada di ambang maut adalah seperti lampu yang dipasang di bilik-bilik yang jauh, sedang kian malap atau mati padam. “Sebagai bapa kepada Neti dan Nathaniel, dua orang anak yang berusia satu dan tiga tahun, saya berharap dalam beberapa dekad akan datang, dunia saya adalah seperti tempat yang luas terbentang, dapat melihat mereka membesar dan menjadi dewasa … Tetapi setelah mengesahkan diagnosis doktor … dunia saya seolah-olah menjadi terhad dan sempit.”

Ketika memikirkan keterbatasan sebegini, Billings merenungkan Mazmur 31, bagaimana Tuhan menjejakkan Daud di “tempat yang lapang” (ayat 8). Walaupun Daud bercakap tentang penindasan oleh musuh-musuhnya, dia tahu bahawa Tuhan menjadi batu pejal tempat perlindungannya dan kubu pertahanan untuk keselamatannya (ayat 2). Melalui lagu ini, pemazmur menyuarakan kepercayaannya kepada Tuhan: “Usiaku berada dalam tangan-Mu” (ayat 15).

Seperti Daud, Billings juga menaruh harapannya kepada Tuhan. Walaupun sebagai seorang ahli teologi, suami, dan bapa, Billings mengakui bahawa dia juga hidup di suatu tempat yang lapang walaupun berhadapan dengan keterbatasan dalam hidup. Mengapa? Sebab kematian telah ditawan oleh Tuhan melalui pengorbanan Kristus sehingga kita boleh menetap dalam Kristus, yakni “tempat paling lapang yang dapat dibayangkan.” Seperti diterangkan oleh Billings, “Apakah yang lebih lapang dan lebih luas daripada merasakan, mengalami, dan berkongsi hidup Kristus melalui Roh Kudus?”

Kita juga mungkin berduka dalam tangisan, tetapi kita dapat berlindung pada Tuhan, dengan meminta Dia memimpin dan membimbing kita (ayat 1, 3). Bersama-sama Daud, kita boleh mengesahkan bahawa kita hidup di tempat yang lapang.