Semasa Liga Bola Sepak Kebangsaan Draf diadakan secara tahunan di Amerika Syarikat, pasukan-pasukan bola sepak profesional akan memilih pemain baharu. Jurulatih menghabiskan beribu-ribu jam untuk menilai kemahiran dan kecergasan fizikal pemain yang bakal menyertai pasukan mereka. Pada tahun 2022, Brock Purdy merupakan pemain ke-262 yang dipilih, dan dilabelkan sebagai “Encik Tak Relevan,” nama panggilan yang diberikan kepada pemain bola sepak yang terakhir dipilih. Tiada sesiapa menjangka dia akan bermain dalam perlawanan pada musim akan datang. Namun, hanya beberapa bulan kemudian, Purdy mengetuai pasukannya mencapai dua kemenangan dalam perlawanan utama. Hakikatnya, para eksekutif pasukan tidak selalunya melakukan tugas yang efektif untuk mengenal pasti pemain yang berpotensi. Begitulah juga dengan kita.

Dalam satu kisah Perjanjian Lama yang tidak asing lagi, Tuhan mengutus nabi Samuel untuk memilih raja Israel seterusnya daripada kalangan anak Isai. Apabila Samuel memandang para anak lelaki itu, dia terpengaruh oleh penampilan fizikal mereka. Bagaimanapun, Tuhan berfirman kepadanya, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi” (1 Samuel 16:7). Sebaliknya, Tuhan memimpin Samuel untuk memilih anak bukan yang paling tua atau yang paling tinggi, tetapi yang paling muda dan kelihatan pilihan yang paling tidak relevan—Daud, yang bakal menjadi raja duniawi Israel yang teragung.

Mengapakah kita sering tidak arif dalam hal menilai orang? Petikan kita mengingatkan kita bahawa “manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati” (ayat 7). Apabila kita diminta untuk memilih seseorang untuk menyertai pasukan kerja atau berkhidmat dalam jawatankuasa sukarelawan, kita boleh meminta Tuhan memberi kita kebijaksanaan untuk membuat pilihan berdasarkan sifat yang berharga kepada-Nya.