Joan mengeluh apabila melihat kiriman pada laman media sosial Susan. Foto itu menunjukkan sepuluh orang rakan gereja, duduk bersenyum di sekeliling meja di sebuah restoran. Buat kali kedua dalam bulan ini, mereka meluangkan masa untuk berseronok—tanpa dia. Joan mengerdipkan mata untuk menahan air matanya. Walaupun Joan jarang dapat bergaul mesra dengan orang lain, tetapi perbuatan mereka masih keterlaluan baginya. Alangkah peliknya untuk beribadat dengan orang yang menyisihkannya!
Keadaan seperti itu juga berlaku pada abad pertama! Namun, Yesus menginginkan umat-Nya mencapai kesatuan, maka Dia datang untuk memulihkan perpecahan kita. Sejak gereja pertama bermula, orang yang tidak serasi dengan orang lain harus mencari titik keserasian dalam Yesus. Orang Yahudi memandang rendah orang bukan Yahudi kerana mereka tidak mematuhi hukum Taurat, dan orang bukan Yahudi membenci orang Yahudi kerana mereka menganggap diri lebih mulia. Kemudian Yesus “menyatukan kedua-dua pihak”; Dia “meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan. Dia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya” (Efesus 2:14-15). Mematuhi hukum-hukum tidak lagi penting. Apa yang penting ialah Yesus. Bolehkah orang Yahudi dan bukan Yahudi dipersatukan dalam Dia?
Ini terpulanglah pada tindak balas mereka. Yesus “mengkhabarkan perdamaian” kepada orang bukan Yahudi “yang jauh dan kepada [orang Yahudi] yang dekat” (ayat 17). Mesej sama, tetapi aplikasi berbeza. Orang Yahudi yang menganggap diri sendiri benar perlu mengakui bahawa mereka tidak lebih baik daripada orang lain, manakala orang bukan Yahudi yang dihina perlu percaya bahawa mereka tidak lebih buruk. Kedua-dua pihak perlu berhenti menjengkeli yang lain tetapi hendaklah memfokuskan Kristus, yang “mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian” (ayat 15).
Rasa diri diabaikan? Sememangnya itu amat menyakitkan hati dan tidak patut berlaku. Namun, anda boleh menjadi pendamai apabila anda bersandar pada Yesus. Dia tetap menjadi damai kita.