Patty meluangkan waktu petang di tebing sebuah sungai tempatan dengan menggunakan joran untuk membuang umpan ke dalam air sungai. Patty yang baru sahaja berpindah ke kawasan tersebut tidak berharap untuk memancing ikan; tetapi dia berharap dapat “memancing” beberapa orang kawan baru. Dia tidak menggunakan cacing atau sebarang umpan tradisional. Sebaliknya, dia menggunakan joran Sturgeon yang tahan lasak untuk menghulurkan bungkusan biskut kepada orang yang menyusuri sungai tersebut dengan rakit pada suatu hari musim panas. Dia menggunakan cara kreatif ini untuk bertemu dengan jiran-jiran barunya, yang nampaknya amat menikmati buah tangan yang disediakannya!

Cara Patty pergi “memancing kawan” mengingatkan kita dengan maksud Yesus apabila Dia meminta Petrus dan Andreas untuk berjalan bersama-Nya sepanjang hayat. Dua orang adik-beradik tersebut merupakan nelayan yang tekun menebarkan jala mereka di Laut Galilea. Yesus mengganggu kerja mereka dengan memanggil mereka untuk mengikut Dia, selain mengatakan bahawa Dia akan menjadikan mereka “penjala insan” dan bukannya penjala ikan (Matius 4:19). Dia membuat permintaan yang sama kepada dua orang nelayan yang lain, Yakobus dan Yohanes, tidak lama selepas itu. Setiap mereka segera meninggalkan jala dan perahu mereka untuk pergi bersama Yesus.

Seperti para nelayan yang menjadi murid-murid Kristus yang pertama, Dia meminta kita mengikut Dia dan menumpukan perhatian kita kepada perkara-perkara yang kekal abadi: kehidupan rohani setiap orang yang berinteraksi dengan kita. Kita dapat memberi orang di sekeliling kita apa yang benar-benar memuaskan—harapan yang diperoleh dalam hidup yang kekal bersama Yesus (Yohanes 4:13-14).