Selama bertahun-tahun, Evan bergelut dengan ketagihan yang menghalang dia mendekati Tuhan. Bagaimanakah aku layak menerima kasih-Nya? Dia tertanya-tanya. Oleh itu, walaupun dia tetap pergi ke gereja, dia berasa bahawa terdapat satu jurang yang sungguh luas, yang memisahkannya daripada Tuhan.

Namun, setiap kali Evan berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk sesuatu, Tuhan nampaknya mengabulkannya. Tuhan juga menghantar orang untuk menggalakkan dan menghiburkan dia pada waktu susah. Selepas beberapa tahun, Evan menyedari Tuhan sering mencarinya dan menunjukkan bahawa Dia sentiasa mengasihi serta mengambil berat tentangnya. Ketika itulah dia mula mempercayai pengampunan dan kasih Tuhan. “Sekarang, saya tahu bahawa Tuhan telah mengampuni saya dan mahu mendekatkan saya kepada-Nya, walaupun saya masih bergelut dengan ketagihan saya,” katanya.

Yehezkiel 34:11-16 memberitahu kita tentang Tuhan yang memelihara umat-Nya. “Aku sendiri akan memperhatikan domba-Ku dan mencari mereka,” Dia berfirman dengan berjanji untuk menyelamatkan mereka dan memberi mereka rezeki yang berlimpah ruah (ayat 11). Hal ini terjadi selepas pemimpin mereka meninggalkan mereka, dan mereka sendiri mengingkari gembala mereka yang benar (ayat 1-6). Sama ada kita menjadi mangsa keadaan yang tidak berdaya atau bergelut dengan akibat dosa diri kita sendiri, Tuhan sentiasa mencari kita dalam kasih. Dalam belas kasihan dan rahmat-Nya, Dia membawa kita kembali kepada-Nya. Jika anda telah melupakan Tuhan, kembalilah kepada-Nya. Kemudian, dalam pimpinan-Nya, teruslah berjalan bersama-Nya setiap hari.