Bertahun-tahun yang lalu, suami saya memutuskan untuk membuat lawatan ke Afrika bersama satu rombongan misi dari gerejanya. Namun pada saat terakhir, rombongan itu menghadapi halangan sehingga mereka tidak dapat mengadakan perjalanan. Semua ahli rombongan berasa kecewa, tetapi wang yang dikumpulkan mereka untuk tambang penerbangan, penginapan dan makanan didermakan kepada orang tempatan. Pihak tersebut pun menggunakan derma itu untuk membina sebuah pusat perlindungan bagi mangsa penderaan.
Baru-baru ini, dalam satu majlis sarapan pagi yang disertai ibadah doa, suami saya bertemu dengan seorang lelaki yang tinggal di kampung yang hampir dilawatinya bertahun-tahun yang lalu. Lelaki ini merupakan seorang guru, yang berkata bahawa dia melalui pusat perlindungan tersebut setiap hari. Dia bersaksi bahawa Tuhan telah menggunakan pusat perlindungan itu untuk membantu orang yang paling tidak berdaya di kawasan tersebut.
Rancangan dan keinginan kita tidak selalunya sepadan dengan kehendak Tuhan. Sebabnya “rancangan-Nya bukanlah rancangan [kita] dan jalan [kita] bukanlah jalan-Nya” (Yesaya 55:8). Jalan Tuhan bukan sahaja berbeza daripada jalan kita; jalan-Nya adalah “setinggi langit” dan lebih baik kerana segala yang dilakukan-Nya adalah konsisten dengan siapa Dia (ayat 9). Kebenaran ini memberi kita harapan apabila usaha kita untuk melayani Dia tidak menjadi seperti yang kita rancangkan.
Mungkin bertahun-tahun berlalu sebelum kita dapat meninjau kembali dan mengesan pengaruh Tuhan melalui situasi tertentu. Namun, buat masa ini, apabila kita terus menjangkau dunia ini dalam nama-Nya, kita boleh ingat bahawa Tuhan sentiasa bekerja dengan sepenuh kuasa (ayat 11).