“Kadang-kadang saya terasa seolah-olah saya … tidak kelihatan.” Kata tersebut tergantung di situ ketika Joanie bercakap dengan rakannya. Suami Joanie telah bercurang dengan perempuan lain, lalu meninggalkannya dengan anak-anak yang masih kecil di rumah. “Saya memberinya zaman terbaik saya,” katanya. “Dan sekarang saya tidak tahu adakah sesiapa akan benar-benar mempedulikan saya atau meluangkan masa untuk benar-benar mengenal saya.”

“Saya turut berasa kesal,” kawan Joanie menjawab. “Ayah saya meninggalkan kami ketika saya berumur enam tahun, dan kami mengalami masa yang begitu susah, terutamanya ibu saya. Namun, ibu saya mengucapkan kata-kata ini kepada saya sambil menyelimutkan saya semasa tidur pada waktu malam. Kata-katanya itu tidak akan saya lupakan: ‘Tuhan tidak akan menutup mata-Nya.’ Apabila saya lebih dewasa, ibu menjelaskan bahawa dia cuba mengajar saya bahawa Tuhan sentiasa mengasihi saya dan menjaga saya, sekalipun ketika saya tidur.”

Alkitab mengemukakan kata-kata Tuhan kepada Musa supaya dia menyampaikannya kepada umat-Nya pada waktu yang mencabar, ketika mereka mengembara di padang gurun Sinai: “TUHAN memberkati kamu dan melindungi kamu. TUHAN menyinari kamu dengan wajah-Nya dan memberi kamu kasih kurnia. TUHAN menghadapkan wajah-Nya kepada kamu dan memberi kamu kedamaian” (Bilangan 6:24-26). Inilah berkat yang Tuhan menyuruh para imam mengucapkannya kepada orang ramai.

Walaupun di padang gurun kehidupan—segala situasi yang menyebabkan kita tertanya-tanya jika ada sesiapa yang melihat kita atau benar-benar memahami kita—Tuhan tetap setia. Rahmat Tuhan—wajah-Nya yang bersinar dan kasih-Nya yang kekal abadi—sentiasa tertuju kepada mereka yang mengasihi-Nya, walaupun sewaktu kita tidak dapat merasakan hadirat-Nya disebabkan kesakitan kita. Tiada sesiapa pun tidak kelihatan di mata Tuhan.