Dalam sebuah program televisyen tentang pembaikan rumah, pereka dalaman memuji-muji tuan rumah yang telah memilih jubin seramik buatan tangan untuk ruang bilik mandinya yang baharu. Berbeza dengan jubin yang dihasilkan secara komersil, yang semuanya serupa, kepingan-kepingan buatan tangan ini “sempurna walaupun ada ketidaksempurnaan”, yang memberikan keindahan yang unik kepada setiap jubin, selain menambah daya tarikan dan gaya kepada bilik mandi yang asalnya ruang biasa sahaja.
Saya tidak arif tentang gaya atau daya tarikan, apatah lagi pengaruh yang positif atau negatif terhadap sesuatu ruang yang dibawa oleh jubin. Namun, walaupun jubin-jubin tersebut tidak sempurna sekali, Yesus, dalam penjelmaan-Nya (kedatangan-Nya ke bumi sebagai manusia), adalah sempurna sekali. Penulis kitab Ibrani menegaskan bahawa, “Kita tidak mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa” (Ibrani 4:15). Sewaktu di dunia ini, Yesus tidak sesekali mengucapkan sepatah kata dosa atau melakukan perbuatan dosa. Dialah sempurna sekali.
Dorongan untuk kita, seperti yang kita baca dalam kitab Ibrani, adalah “berpegang teguh pada pengakuan kita” kepada Yesus (ayat 14), kerana Dia memahami dan berempati dengan pergelutan yang kita hadapi. Dia pernah menempuhnya dan bertindak–tetapi Dia tidak melakukan dosa sama sekali. Penyelamat kita yang sempurna sekali dapat menolong kita dalam segala hal.