Seorang askar berbangsa Finland yang bertarung dalam Perang Musim Dingin selama tiga bulan dengan Rusia (1939-1940) terbaring cedera di medan perang. Seorang askar Rusia berjalan ke arahnya sambil mengacukan senapangnya. Askar Finland tersebut menyangka bahawa dia akan menemui ajal. Bagaimanapun, askar Rusia itu menyerahkan kit perubatan kepadanya, kemudian terus pergi. Betapa menghairankan, askar Finland itu kemudiannya mendapati dirinya berada dalam situasi yang sama, hanya peranannya terbalik—seorang askar Rusia terbaring cedera dan tidak berdaya di medan perang. Askar Finland tersebut menghulurkan bekalan perubatan kepadanya dan terus berjalan.
Yesus memberi kita satu prinsip utama untuk membimbing hidup kita: “Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka” (Matius 7:12). Bolehkah anda bayangkan betapa bezanya dunia kita jika orang yang percaya kepada Yesus sentiasa mendukung prinsip yang mudah ini? Bolehkah kita menjangka berapa banyaknya penindasan akan berakhir jika kita sama-sama menjalani hidup dengan mentaati hikmah Yesus? Alangkah baiknya, dalam bimbingan-Nya, kita dapat memperlihatkan kebaikan dan belas kasihan kepada orang lain sebagaimana yang kita harapkan untuk diri kita sendiri. Apabila kita “memberikan yang baik” kepada orang lain, kita mencerminkan hati “Bapa [kami] yang di syurga … [yang] memberikan yang baik kepada mereka” yang dikasihi-Nya (ayat 11).
Betapa pentingnya untuk kita melihat orang lain bukan sekadar sebagai musuh atau orang asing, atau orang yang kita bersaing untuk mendapatkan sumber atau peluang. Sebaliknya, kita harus melihat bahawa mereka memerlukan belas kasihan dan kebaikan sebagaimana kita memerlukannya. Dengan berbuat sedemikian, pendirian dan pandangan kita akan berubah. Kemudian, dengan pertolongan Tuhan, kita dapat menawari mereka kasih yang ditawarkan-Nya secara percuma kepada kita.