Berikutan kekalahan besar pihak Selatan di Gettysburg dalam Perang Saudara Amerika (1863), Jeneral Robert E. Lee membawa tenteranya yang luka parah kembali ke wilayah Selatan. Hujan lebat yang membanjiri Sungai Potomac, menyekat pengundurannya. Presiden Abraham Lincoln menggesa Jeneral George Meade melancarkan serangan. Namun anggota tentera Meade semuanya dalam keadaan letih lesu seperti anggota tentera Lee. Dengan itu, Meade membiarkan tenteranya untuk berehat.
Lincoln mengambil pen bulu pelepahnya dan menulis surat untuk mengaku bahawa dia “pedih hati sekali” atas keengganan Meade untuk memburu Lee. Pada sampul surat tersebut tertera kata-kata yang berikut dalam tulisan tangan presiden: “Kepada Jeneral Meade, tidak akan dikirim, atau ditandatangani.” Sememangnya, surat itu tidak pernah dikirim.
Jauh lebih awal sebelum Lincoln, seorang lagi pemimpin agung menghayati pentingnya untuk mengawal emosi kita. Kemarahan, tidak kira betapa wajarnya, merupakan kuasa yang berbahaya. “Adakah engkau memperhatikan orang yang bercakap dengan terburu-buru?” Raja Salomo bertanya. “Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia” (Amsal 29:20). Salomo tahu bahawa seorang “raja menegakkan negeri dengan keadilan” (ayat 4). Dia juga memahami bahawa “orang bodoh melampiaskan segala kemarahannya, tetapi orang bijaksana menahan diri” (ayat 11).
Akhirnya, tindakan Lincoln yang tidak mengirim surat itu mencegahnya daripada melemahkan semangat jeneral tertingginya, tambahan lagi membantunya memenangi perang yang penting dan menyumbang kepada pemulihan negaranya. Mari kita belajar daripada contoh seperti Lincoln yang bijak menahan diri.