Di Sweden, terdapat satu konsep yang dikenali sebagai döstädning. Secara langsung, ia bermaksud “pembersihan sebelum kematian.” Ideanya ialah apabila usia kita semakin meningkat, kita harus berhenti mengumpulkan “benda” dan mula mengemaskan sepahan yang telah kita lambakkan sepanjang hidup kita. “Pembersihan sebelum kematian” seperti orang Sweden sebenarnya ialah anugerah kasih kepada anak-anak dan rakan-rakan, kerana ia memudahkan tugas mereka untuk membersihkan apa yang kita tinggalkan.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, pada usia tertentu kita mula memikirkan warisan kita—iaitu, peninggalan kita. Selalunya, hal ini dinyatakan dalam bentuk wang, harta pusaka atau derma bakti—dan banyak yang dapat diperkatakan mengenainya. Namun, penting bagi kita untuk melihat Yesus pada saat-saat terakhir-Nya bersama para pengikut-Nya: “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ” (Yohanes 13:36). Dalam ayat 34-35, Yesus menggunakan perkataan kasihilah atau mengasihi sebanyak empat kali—warisan-Nya adalah kasih. Dia memberitahu mereka: “Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri” (ayat 34).

Mungkin baik untuk kita melakukan “pembersihan sebelum kematian” dalam hidup kita dengan mengemaskan sepahan demi meninggalkan benda yang paling penting sahaja. Akan tetapi, ia sebenarnya bukan tentang benda atau wang. Warisan terpenting yang dapat anda tinggalkan adalah kasih anda kepada Yesus. Apabila anak-anak dan rakan-rakan mengingati anda sebagai seorang yang mengasihi Yesus, itulah pemberian yang terbaik kerana ia membawa makna baharu kepada frasa “peninggalan.”