Apabila Lydia dihadiahi sebanyak AS$10,000 oleh para penderma tanpa nama, dia membelanjakan sangat sedikit daripada wang itu untuk dirinya sendiri. Sebaliknya, dia mendermakan sejumlah besar wang kepada rakan sekerja, anggota keluarga, mangsa banjir dan badan amal. Lydia, tanpa disedarinya, merupakan salah seorang daripada satu kajian mengenai bagaimana dua ratus orang akan memberi respons terhadap hadiah sebanyak AS$10,000 tanpa sebarang ikatan melalui pindahan wang dalam talian. Kajian itu mendapati bahawa lebih daripada dua pertiga hadiah wang itu turut diberikan kepada orang lain. Ketika berkongsi kisah ini, Chris Anderson, ketua bagi sebuah organisasi media bukan untung TED membuat rumusan ini, “Ternyata … kita manusia berkecenderungan untuk membalas kemurahan hati dengan kemurahan hati.”
Dalam Alkitab, kita mendapati bahawa apabila orang hidup dengan murah hati, mereka mencerminkan hati Tuhan yang mencipta mereka. Tuhan maha pemurah, berbelas kasihan dan baik, bukan hanya kepada segelintir orang tetapi kepada semua orang—bahkan kepada “orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang zalim” (Lukas 6:35). Oleh itu, Yesus mengajar mereka yang ingin mencerminkan sifat Tuhan untuk “mengasihi,” “berbuat baik” dan “meminjami orang” termasuk musuh dengan “tidak mengharapkan apa-apa” (ayat 32-35).
Apabila kita memberi tanpa mengharapkan apa-apa, kita akan mendapati bahawa cara hidup sebegini tidaklah memudaratkan kita. Yesus menekankan hal ini juga dengan berkata, “Berilah kepada orang lain, dan kamu akan diberi … Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu” (ayat 38). Apabila kita membalas kemurahan Tuhan dengan menjalani hidup yang penuh murah hati, kita akan mendapati bahawa hidup kita diperkaya dalam banyak segi.