Pada tahun 1943, sebuah kem di luar bandar Maryland yang dipanggil Shangri-La telah dibeli sebagai tempat retret (atau tempat percutian) untuk Presiden AS, Franklin D. Roosevelt. Terkenal dengan suasana kekampungan, tenang dan terpencil, tempat ini memberikan peluang “untuk bersendirian dan menikmati ketenangan,” menurut laman web Rumah Putih, “serta merupakan tempat yang sesuai untuk bekerja dan menjadi tuan rumah bagi pemimpin-pemimpin negara asing.” Apabila Dwight Eisenhower menjadi presiden, dia menamakan semula tempat berehat tersebut sebagai Kem David sebagai penghormatan kepada bapa dan cucunya, dan nama tersebut kekal sehingga sekarang. Selain meningkatkan kawalan keselamatan, hanya terdapat sedikit kerja pemodenan telah dilakukan di kem tersebut. Ia kekal menjadi tempat rehat yang sesuai untuk presiden-presiden AS dan keluarga mereka.
Orang yang percaya kepada Yesus juga mempunyai tempat retret yang kita boleh mencari ketenangan di tengah-tengah dunia kita yang bergolak. Dalam Mazmur 32:7, Raja Daud menulis, “Engkau tempatku berlindung; Engkau akan menaungiku daripada kesusahan Engkau akan memeliharaku dengan nyanyian penyelamatan.” Daud menyedari bahawa Tuhan ialah tempat perlindungannya yang sebenar.
Yesus mengalu-alukan kita mendapatkan rehat dan pemulihan dalam Dia. Dia berkata, “Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan. Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang”(Matius 11:28-29).
Dia boleh menjadi tempat rehat kita pada bila-bila masa, setiap masa, dan sepanjang masa.