Pada suatu hari musim sejuk di Michigan, seorang penghantar barang ternampak seorang wanita tua sedang menyodok salji di hadapan jalan masuk ke rumahnya. Maka dia berhenti keretanya dan menawarkan untuk menolong wanita yang berusia lapan puluh satu tahun itu. Oleh sebab bimbang bahawa dia akan lewat menghantar bungkusannya, wanita tua itu mengambil satu lagi penyodok. Mereka bekerjasama sebelah-menyebelah selama lima belas minit sementara jiran-jirannya memerhati dari jauh. “Saya bersyukur kerana anda membantu saya,” katanya. “Anda dihantar oleh Tuhan.”

Dalam perbualan dengan seorang pakar Taurat (hukum), Yesus mentakrifkan semula konsep mengasihi sesama manusia (atau jiran) kita (Lukas 10:25-37). Apabila Yesus memintanya untuk mentafsirkan hukum yang dia tahu dengan arif sekali, pakar itu berkata, “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri” (ayat 27).

Kemudian Yesus mengongsi cerita tentang dua orang pemimpin agama yang mengabaikan seorang mangsa rompakan. Tetapi seorang bangsa Samaria—seorang yang dianggap rendah kedudukannya oleh kebanyakan pemimpin Yahudi pada zaman itu—berkorban untuk membantu mangsa tersebut (ayat 30-35). Apabila pakar hukum tersebut menyedari bahawa orang yang mengasihani lelaki itu telah mengasihi seperti seorang sesama manusia, Yesus menggalakkan dia untuk berbuat demikian (ayat 36-37).

Mengasihi orang lain tidak selalunya mudah atau senang. Namun, seperti Yesus melimpahi kita dengan kasih-Nya, Dia juga akan membantu kita mengasihi semua jiran kita seperti bangsa Samaria yang baik hati itu.