Duduk membongkok di atas sebuah mesin taip manual, Itzhak Stern bekerja sepanjang malam, menaip nama-nama—sebanyak 1,098 kesemuanya. Nama-nama ini terdiri daripada senarai pekerja Yahudi yang dilindungi daripada Nazi oleh seorang pemilik kilang, Oskar Schindler. Sambil memegang dokumen itu, Stern mengisytiharkan, “Senarai ini menunjukkan kebaikan mutlak. Senarai ini adalah kehidupan.” Kemudian nama-nama orang dalam senarai itu terselamat daripada Holokus (pembunuhan beramai-ramai). Pada tahun 2012, dianggarkan bahawa keturunan mereka yang terselamat ini berjumlah 8,500 orang.
Alkitab juga mengandungi bahagiannya sendiri yang terdiri daripada senarai. Kita cenderung untuk melangkau bahagian ini. Terlalu banyak nama; terlalu banyak pengulangan. Kita mungkin bahkan berkata bahawa bacaan hari ini … amat bosan. “Keturunan Yehuda menurut kaum-kaum mereka: kaum Syela, daripada Syela; kaum Peres, daripada Peres; kaum Zerah, daripada Zerah …” (Bilangan 26:20). Siapa peduli?
Tuhan peduli! “Inilah orang Israel yang keluar dari Tanah Mesir,” menurut catatan sejarah (ayat 4). Tidak lama lagi bangsa itu akan mendiami tanah yang dijanjikan kepada mereka. Suatu hari nanti, Mesias juga akan datang daripada kaum Yehuda ini. Senarai itu membawa kehidupan, bukan sahaja untuk orang Yahudi, tetapi untuk semua yang percaya kepada Yesus.
Kita mengetahui senarai Oskar Schindler daripada filem terkenal, Schindler’s List (Senarai Schindler) dan rekod sejarah. Kita tahu tentang keselamatan besar Tuhan daripada kisah yang dicatatkan untuk kita dalam Alkitab. Semasa kita membaca Kitab Suci, semoga Roh-Nya menunjukkan kepada kita nilai walaupun dengan senarai itu. Nama-nama dalam senarai pun mempunyai sesuatu untuk diceritakan kepada kita.