Pada mulanya, saya mengabaikan kad yang melayang jatuh ke tanah. Seorang bapa dan anak perempuannya yang menjatuhkannya sedang berjalan berlalu, dan saya sudah lewat ke tempat kerja. Mereka pasti menyedarinya, saya berkata kepada diri sendiri. Tetapi mereka terus berjalan. Hati nurani saya mendorong saya, jadi saya pergi mengambil kad tersebut. Ia adalah pas bas prabayar. Apabila saya memberikannya kepada mereka, ucapan terima kasih mereka yang berlebih-lebihan membuatkan saya berasa sungguh puas hati. Mengapakah saya berasa begitu baik setelah melakukan perkara kecil ini? Saya tertanya-tanya.

Rupa-rupanya tubuh manusia menghasilkan bahan kimia yang mengubah perasaan kita apabila kita berbuat baik kepada orang lain. Kita diciptakan untuk berasa baik apabila kita melakukan kebaikan! Ini tidak mengejutkan, kerana kita diciptakan oleh Tuhan yang baik supaya kita menjadi seperti-Nya.

Efesus 2:10 menunjukkan kepada kita bahawa memberkati orang lain adalah sebahagian tujuan hidup kita: “Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan.” Ayat ini bukan sekadar memberi arahan untuk berbuat baik; dalam cara yang lain, ia juga mencerminkan sebahagian sifat semula jadi kita yang diciptakan oleh Tuhan. Kita tidak perlu melakukan perkara besar sepanjang masa. Jika kita melakukan sesuatu yang kecil untuk membantu orang lain dalam kehidupan harian kita, bukan sahaja kita mendapat ganjaran kepuasan, tetapi kita juga tahu bahawa kita menyenangkan hati Tuhan, kerana kita sedang melakukan apa yang Dia ciptakan kita untuk lakukan.