Jurulatih larian Jeff Galloway, seorang bekas Olimpian, mengajar protokol latihan maraton yang berlawanan dengan latihan yang lazim dilakukan. Pelari maraton yang baharu dan berpengalaman sering terkejut apabila mengetahui bahawa dia mengesyorkan strategi “lari/berjalan”: selang-seli berlari selama beberapa minit bergantian dengan tempoh berjalan yang singkat. Teori di sebalik pendekatannya ialah selingan berjalan yang singkat membolehkan badan pulih seketika, melengkapkan pelari untuk menamatkan perlumbaan mereka lebih cepat jika mereka telah berlari sepanjang 42 kilometer terus.

Kepentingan selang waktu rehat tidak terhad hanya dalam hal berlari. Rehat membantu kita mengekalkan usaha yang panjang yang diperlukan dalam kehidupan. Inilah sesuatu yang dinyatakan Tuhan di sepanjang Alkitab, bermula dalam kitab Keluaran. Dalam Perjanjian Lama, irama rehat dimodelkan mengikut pekerjaan Tuhan pada masa penciptaan: bekerja selama enam hari dan kemudian memelihara “hari ketujuh [sebagai] hari Sabat bagi TUHAN, Allahmu” (Keluaran 20:10) kerana Tuhan “menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh” (ayat 11).

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, tidak ada formula yang pasti berapa kerap kita perlu berehat (Roma 14:5-6; Kolose 2:16-17). Rehat pada bila-bila masa dan dengan apa jua cara kita nikmatinya, rehat bertujuan untuk pemulihan. Memilih untuk berehat juga merupakan ungkapan kita bahawa kita percaya kepada Tuhan, yang setia membekalkan keperluan kita; kita tidak perlu (dan tidak boleh) berlari selama-lamanya.