Phillip Petit, seorang pejalan kaki tali menjadi terkenal pada tahun 1971 apabila dia berjalan di atas tali tegang di antara dua buah menara Katedral Notre-Dame di Paris. Tiga tahun kemudian, dia ditangkap kerana berjalan tanpa kebenaran di antara Menara Berkembar yang pernah menjadi mercu tanda latar langit New York. Akan tetapi, pada tahun 1987, jejak Petit kelihatan berbeza. Atas undangan Datuk Bandar Yerusalem, iaitu Teddy Kollek, Petit berjalan melintasi Lembah Hinom di atas tali tegang sebagai satu acara bagi Perayaan Israel pada tahun itu. Pada titik pertengahan jalan, Petit melepaskan seekor burung merpati untuk melambangkan keindahan kedamaian. Walaupun inilah satu lagak ngeri yang pelik dan berbahaya, semuanya demi tujuan kedamaian. Petit kemudian berkata, “Untuk seketika, seluruh penonton telah melupakan perbezaan mereka.”

Jejak tali tegang Petit mengingatkan saya akan satu lagi detik yang menakjubkan, yang berlaku apabila tubuh Yesus tergantung di antara langit dan bumi. Rasul Paulus memberitahu kita, “Allah berkenan … mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah [Kristus] di atas salib” (Kolose 1:19-20). Paulus menulis bahawa “[Kita] dahulu tersisih daripada Allah” (ayat 21), tetapi tidak lagi demikian. Ini bukan satu persembahan untuk mempromosikan perdamaian, kerana Yesus Mesias sebenarnya telah mengadakan perdamaian dengan menumpahkan darah-Nya pada kayu salib. Apa yang dilakukan-Nya langsung tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun, lagipun tiada keperluan untuk membuat perbandingan ini. Perdamaian-Nya kekal abadi.