Sesetengah pemain piano yang paling terkenal di dunia, termasuk Van Cliburn dan Vladimir Horowitz, selalu bekerjasama dengan Franz Mohr, yakni ketua juruteknik konsert dari syarikat piano Steinway & Sons di New York, untuk memastikan konsert piano mereka siap sedia untuk persembahan. Sebagai penala piano yang mahir, Mohr dikenali kerana pengetahuannya yang terperinci tentang piano dan kemahirannya yang hebat selama berdekad-dekad tahun ini. Mohr menganggap kemahirannya sebagai saluran untuk melayani Tuhan, dan dia kerap berkongsi imannya dengan para pemain piano dan kakitangan persembahan.

Apabila bangsa Israel membuat persiapan untuk membina Khemah TUHAN dan kelengkapan-kelengkapan lain yang diperlukan untuk ibadat, mereka memerlukan beberapa individu yang mahir (Keluaran 31:7-11). Tuhan melantik dua orang tukang yang mahir, Bezalel dan Aholiab, untuk melakukan kerja itu dan memenuhi mereka dengan “Roh Allah, kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan dan segala jenis kemahiran bertukang untuk merancang hasil kerja mahir” (ayat 3-4). Sebagai tambahan kepada kemahiran khusus mereka, Tuhan memperkasakan mereka dengan Roh-Nya untuk membimbing kerja mereka. Kesediaan mereka untuk menggunakan bakat unik mereka dalam pelayanan kepada Tuhan membolehkan orang Israel menyembah Dia dengan sewajarnya.

Sama ada kita menganggap diri kita artistik atau tidak, setiap kita mempunyai kurnia unik yang diberikan Tuhan, kurnia yang dapat kita gunakan untuk melayani orang lain (Roma 12:6). Dengan diperkasakan oleh Roh Kudus, kita boleh melayani dan menyembah Tuhan melalui kerja kita, dengan menggunakan kebijaksanaan, pengertian dan kemahiran yang diberikan-Nya kepada kita.