Semasa saya tinggal bersama ibu saya untuk menjaganya, kami pernah pergi melawat sebuah pameran seni pada suatu hari. Ketika itu, emosi dan fizikal kami keletihan. Namun dua buah perahu kayu yang dipenuhi dengan beberapa karya kaca tiupan berwarna-warni yang diilhamkan oleh umpan pancing dan gubahan bunga orang Jepun telah menarik perhatian saya. Pameran Ikebana dan Bot Terapung itu terletak di hadapan sebuah dinding hitam pada permukaan cermin. Bola-bola kaca yang berbintik-bintik, bertompok-tompok dan berjalur-jalur, seperti gula-gula gam yang amat besar, dilonggokkan di dalam perahu yang lebih kecil. Dari badan perahu kedua, arca kaca yang bersaiz panjang, berpintal, dan melengkung naik menjulang seperti nyala api yang kuat. Dalam proses peniupan kaca, artis telah membentuk setiap kepingan kaca cair melalui relau di bawah suhu yang sangat tinggi.

Air mata mencucuri pipi saya apabila saya membayangkan tangan Tuhan yang penuh kasih telah memegang saya dan ibu saya—anak-anak kesayangan-Nya—mengharungi hari-hari kami yang paling sukar. Apabila Tuhan membentuk watak umat-Nya melalui api yang memurnikan dalam hidup, Dia meyakinkan bahawa harapan kita datang daripada hakikat bahawa kita dikenali-Nya dan kita milik-Nya (Yesaya 43:1). Walaupun kita tidak boleh menghindari kesusahan, Tuhan berjanji untuk melindungi kita dan selalu hadir (ayat 2). Identiti Tuhan dan kasih-Nya kepada kita menjadikan janji-Nya tetap teguh (ayat 3-4).

Apabila keadaan hidup semakin mencabar, kita mungkin berasa lemah. Malah kita mungkin menjadi lemah. Akan tetapi, Tuhan memegang kita dengan teguh dalam kasih, tidak kira betapa panasnya relau hidup itu. Kita dikenali. Kita dikasihi. Kita milik-Nya!