Saya menyukai idea tentang berdiam diri. Tentang senyap. Tentang bersandar pada perlindungan Tuhan (Mazmur 46:1). Apatah lagi, petikan yang sering disebut daripada Mazmur 46 mengajar kita bahawa menenangkan hati, fikiran, dan jiwa kita adalah penting untuk mengenal Tuhan: “Diamlah dan ketahuilah Aku Allah” (ayat 10).
Akan tetapi, berdiam diri tidak mudah, bukan? Berdiam diri dan terutamanya cuba menenangkan hati kita di hadirat Tuhan—kadang-kadang seolah-olah hampir mustahil. Mengapakah begitu?
Salah satu hukum fizik yang paling asas memberitahu kita bahawa “objek dalam gerakan cenderung untuk tetap bergerak.” Jadi untuk beralih daripada sebarang gerakan, aktiviti dan keadaan bukanlah mudah kerana momentum aktiviti kita harus diberhentikan. Kita mungkin menganggapnya seperti olakan air di belakang bot: walaupun bot cuba berlabuh, momentum olakannya—ombak yang ditimbulkannya akan menyusuli bot yang tidak bergerak. Oleh itu air masih beralun di bawah bot sambil menolaknya.
Jika anda menyedari akan nilai berdiam diri tetapi bergelut untuk mendapatkannya, itulah salah satu sebabnya. Aktiviti dan rentak keseluruhan kita adalah seperti “objek dalam gerakan.” Jadi, berilah diri anda banyak ruang dan rahmat semasa anda duduk di hadirat Tuhan dan beristirahat di dalam Dia. Mungkin anda memerlukan beberapa waktu supaya “olakan” ombak rohani anda melepasi anda, demi berdiam diri di hadirat-Nya.