Hidup George Verwer berubah secara dramatik apabila dia percaya kepada Yesus dalam satu kempen penginjilan Billy Graham pada tahun 1957. Tidak lama selepas menjadi Kristian, George memulakan pelayanan Operasi Mobilisasi (OM), dan pada tahun 1963, misi tersebut menghantar dua ribu orang mubaligh ke Eropah. OM terus menjadi salah satu organisasi misi terbesar pada abad ke-20 dengan menghantar ribuan orang mubaligh setiap tahun. Ketika George meninggal dunia pada tahun 2023, misi tersebut mempunyai lebih daripada 3,000 orang petugas dari 134 buah negara yang melayani di 147 buah negara, dan hampir 300 buah agensi misi penginjilan yang lain telah ditubuhkan setelah bekerjasama dengan OM.
Seperti rasul Paulus, George bersemangat sekali untuk membawa orang percaya kepada Kristus. Selepas pertaubatan Paulus yang dramatik dalam perjalanan ke Damsyik, dia menjadi seorang mubaligh yang bersemangat sekali untuk Tuhan, dengan bersungguh-sungguh mengikut perintah Yesus untuk “pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku” (Matius 28:19). Dalam beberapa perjalanan mubalighnya, Paulus juga melatih Timotius dan orang lain untuk pergi dan melakukan perkara yang sama.
Dengan adanya penulisan Paulus yang diilhamkan oleh Roh Kudus, manusia abad demi abad telah memberanikan diri untuk berkongsi Injil. Paulus mengetahui betapa pentingnya Amanat Agung Yesus (Matius 28:19-20). Itulah sebabnya dalam Roma 12, dia mengingatkan kita: “Jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan” (ayat 11). Apabila kita mempunyai Roh Kudus yang tetap di dalam kita, Dia menjadikan kita bersemangat sekali untuk memberitahu orang lain tentang Kristus.