Pelukis yang bernama Degas menghidapi penyakit retina selama lima puluh tahun terakhir dalam hidupnya. Jadi, dia beralih daripada melukis dengan cat air kepada pastel kerana garisan kapur lebih mudah kelihatan. Renoir memerlukan orang lain menyelitkan berus di antara jari-jarinya apabila penyakit artritis membuat jarinya mencengkam seperti cakar. Apabila pembedahan menyebabkan Matisse tidak dapat bergerak, dia beralih kepada kolaj dengan mengarahkan para pembantunya melampirkan kepingan-kepingan kertas yang berwarna-warni pada kajang kertas yang lebih besar di dinding. Daripada setiap kisah yang disebut di atas, wujudlah kejayaan cemerlang yang kreatif: Blue Dancers (Penari Biru) oleh Degas, Girls at the Piano (Gadis-gadis di Piano) oleh Renoir, The Sorrows of the King (Kepiluan Raja) oleh Matisse, dan karya-karya agung yang lain. Dengan menyesuaikan diri dengan cubaan hidup mereka, keindahan terhasil daripada kelemahan mereka.

Begitu juga, pada mulanya Paulus tidak merancang untuk melawat Galatia semasa perjalanan mubaligh awalnya. Dia pergi ke sana kerana dia “jatuh sakit” (Galatia 4:13, TMV). Nampaknya Paulus ingin pergi ke tempat yang ada iklim yang berlainan, dan akhirnya sampai di Galatia. Walaupun sakit, dia mula menyampaikan injil. Ironinya, Roh Kudus melakukan mukjizat melaluinya (3:2-5) dan jemaah Galatia ditubuhkan. Hasil yang mengejutkan ini mungkin tidak akan berlaku jika Paulus tidak sakit.

Apakah cubaan hidup yang telah anda hadapi, dan bagaimanakah ia mengubah hala tuju hidup anda? Dengan memfokuskan kurnia anda semula, anda juga mungkin akan melihat Tuhan membawa keindahan daripada ketidakupayaan anda.