Semasa zaman pergerakan hak sivil Amerika Syarikat (AS), Leah Chase, iaitu seorang tukang masak terkenal dari New Orleans, melakukan apa yang dia mampu. Dia menyediakan makanan dan memberi makan kepada mereka yang berarak untuk memperjuangkan hak yang sama untuk semua orang. Dia berkata, “Aku hanya memberi makan kepada mereka. Mereka berjuang untuk sesuatu, dan mereka tidak tahu apa yang bakal terjadi kepada mereka apabila mereka pergi ke sana. Mereka tidak tahu apa yang akan berlaku kepada mereka di jalanan. Tetapi apabila mereka berada di sini, mereka tahu aku akan memberi mereka makan. Itulah yang mampu aku lakukan untuk mereka.”
Memberikan layanan baik merupakan suatu kurnia yang kadang-kadang boleh sahaja dilupakan, tetapi ia boleh menjadi sama penting dengan bentuk-bentuk lain dalam hal melayani satu sama lain dalam Kristus. Seorang ahli perniagaan bernama Lidia—“yang berjual kain ungu” (Kisah Para Rasul 16:14)—memberikan layanan baik kepada Paulus dan pengkhutbah-pengkhutbah lain yang menyebarkan berita baik tentang Yesus kepada orang Makedonia (ayat 11-15). Dia menggunakan apa yang dia ada, iaitu rumahnya untuk membantu pasukan penginjil yang sedang melakukan perjalanan. Selepas menerima mesej Injil, Lidia dengan sungguh-sungguh menawarkan rumahnya kepada para pengkhutbah untuk berehat, “Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Tuhan, marilah tinggal di rumahku” (ayat 15). Seperti para pendukung hak awam, Paulus dan rakan sekerjanya tidak perlu risau tentang makanan kerana layanan baik yang diberikan oleh Lidia.
Layanan baik boleh membantu semua orang—sama ada saudara seiman dan mereka yang belum percaya kepada Yesus. Marilah kita melayani orang lain kerana Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan untuk membantu mereka.