Penduduk di Le Chambon, Perancis, mempertaruhkan segala-galanya untuk menyelamatkan nyawa seramai lima ribu orang individu, yang kebanyakannya ialah kanak-kanak Yahudi, semasa pendudukan Nazi. Orang yang melarikan diri dari rumah mereka disembunyikan di rumah dan ladang komuniti tempatan. Penduduk kota itu diilhami oleh Pastor André Trocmé, yang menyeru jemaahnya menghulurkan bantuan dengan merujuk kepada Ulangan 10:19, “Hendaklah kamu mengasihi kaum pendatang, kerana kamu pun pernah menjadi pendatang di Tanah Mesir”.

Perintah yang diberikan kepada orang Israel ini datang daripada petikan yang bermula dengan peringatan bahawa seluruh bumi ialah kepunyaan Tuhan, yang “perkasa, dan tersangat hebat” (ayat 17). Namun Tuhan memilih untuk mengasihi orang Israel (ayat 15). Dia juga mengambil berat terhadap orang yang berada dalam situasi yang terdedah pada bahaya atau tempat asing (ayat 18), termasuk kaum pendatang yang bukan sebahagian daripada negara Israel. Semasa orang Israel menetap di rumah baru mereka, mereka harus mencontohi kasih dan penjagaan Tuhan kepada mereka yang memerlukan bantuan, terutamanya kerana mereka pernah mengalami kesusahan sebagai orang asing (ayat 19).

Jika kita telah lama bekerja atau tinggal di rumah yang sama selama beberapa tahun, Tuhan mungkin memberi kita peluang untuk menunjukkan kebaikan kepada seseorang yang berasa seperti “orang asing”, mungkin dengan memberikan nasihat yang berguna kepada rakan sekerja baru atau bantuan kepada keluarga yang baru pindah ke kawasan kita. Apabila kita melakukannya, kita menunjukkan kasih Tuhan kepada mereka yang berada dalam situasi yang tidak dikenali, dan sering terdedah pada bahaya.