Kami berempat mendaki melalui Gaung Watkins Glen yang indah di New York. Ada kalanya kami berdiri bersama-sama dalam kekaguman, sambil merenung dengan hairan ke arah air terjun serta tebing setinggi enam puluh meter. Pada masa-masa lain, kami harus berhenti sejenak untuk menarik nafas dan merehatkan kaki yang sakit semasa memanjat batu basah tanpa henti. Apabila kami menghampiri puncak, seorang pejalan kaki yang kembali ke bawah berkata, “Kamu perlu menaiki 10 anak tangga lagi untuk sampai ke tangga yang ke-832.” Mujurnya kami tidak tahu betapa sukarnya perjalanan itu pada permulaan, kerana kami mungkin tidak akan meneruskannya dan terlepas untuk melihat semua keindahan.
Hidup ini juga mempunyai perjalanan yang sukar. Yesus dan Paulus memberi peringatan kepada semua orang percaya tentang kesukaran dan penganiayaan (Yohanes 16:33; 2 Timotius 3:12), dan kita memerlukan beberapa perspektif untuk menghadapinya. Yakobus berkata, “anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan” (Yakobus 1:2). Mengapakah kita harus menganggap ini sebagai kegembiraan dan bukannya penderitaan? Tuhan tahu dan kita juga “tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan” (ayat 3). Tetapi untuk tujuan apa? Supaya “kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun” (ayat 4).
Jika kita berhenti seketika dan merenung, walaupun dalam kesakitan, kita mungkin melihat kekuatan yang dikurniakan Tuhan dalam diri kita dan orang-orang di sekeliling kita. Kita juga akan belajar untuk menghargai kebenaran bahawa suatu hari nanti kita “akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya” (ayat 12). Mari kita terus mendaki perjalanan hidup ini bersama.