Seorang pemandu bas sekolah pengsan semasa memandu, dan kenderaan besarnya yang menumpang enam puluh orang pelajar hilang kawalan. Dillon Reeves, seorang pelajar tingkatan satu dengan segera bangkit dari tempat duduknya, meluru ke hadapan bas, dan menginjak brek secara perlahan-lahan tepat pada waktunya. Sementara kebanyakan pelajar sedang sibuk menghantar mesej atau bermain permainan di telefon mereka, Dillon—yang tidak mempunyai telefon—menyedari kecemasan yang dihadapi dan terus bertindak. Dia tahu untuk menginjak brek perlahan-lahan kerana dia telah banyak kali melihat pemandu melakukannya. Kewaspadaan dan fokusnya telah membantu dia menyelamatkan nyawa semua penumpang, termasuk pemandu yang kemudiannya pulih.
Yosua harus melangkah dengan berani selepas pemimpinnya, Musa, tidak lagi “di tempat duduk pemandu” untuk memimpin orang Israel. Tuhan berfirman kepadanya, “Hamba-Ku Musa telah mati … sebab itu bersiaplah sekarang” (Yosua 1:2, TB). Lebih-lebih lagi, Dia berkata, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu sungguh-sungguh. Berhati-hatilah … janganlah menyimpang [daripada hukum Taurat] ke kanan atau ke kiri” (ayat 7). Tuhan memberitahu Yosua supaya tidak mengalihkan perhatiannya dan mengekalkan fokusnya, untuk mengawasi segala perintah yang telah diberikan-Nya—merenungkannya “siang dan malam” (ayat 8).
Kita boleh terganggu oleh peralatan elektronik dan perkara-perkara lain, sehingga pandangan kita teralih daripada Tuhan dan hikmat yang terdapat dalam Kitab Suci (2 Timotius 3:16-17). Sebaliknya, apabila kita tetap berjaga-jaga dan “mengarahkan mata kita kepada Yesus” (Ibrani 12:2), kita akan terus cepat bertindak apabila Tuhan memanggil kita.