Apabila bapa Josie yang sedang sakit dan sudah tua berpindah dan tinggal bersamanya, dia berasa terbeban kerana perlu menjaga bapanya setiap hari. Harga ubat-ubatan yang perlu dibelinya juga mahal. Selain menjalankan tugasnya sebagai penjaga dan memerlukan kebijaksanaan untuk membimbing dia membuat keputusan memandangkan kesihatan bapanya semakin teruk, tambahan lagi pekerjaan “sepenuh masa” Josie yang lain, segala situasi ini sangat meletihkannya. Dia berkata, “Bagaimanakah aku boleh terus mengumpul dan memberikan kekuatan, sumber praktikal, kebijaksanaan dan kasih sayang, supaya boleh terus menjaga bapa saya?”
Josie menjumpai harapan dalam Ratapan, kitab yang menceritakan tentang kesedihan Yeremia dan umat Tuhan. Yerusalem telah dimusnahkan oleh orang Babilonia, dan orang Yahudi kini menghadapi hari-hari pembuangan yang penuh ketidakpastian. Penderitaan itu amat berat, tetapi Tuhan berjanji bahawa “kasih setia[-Nya] tidak pernah lenyap” (Ratapan 3:22). Perjanjian-Nya yang penuh kasih akan kekal bersama mereka, walaupun mereka tidak lagi berada di tanah yang dijanjikan kerana: “Rahmat-Nya tidak berkesudahan” (ayat 22, TB).
Kasih Tuhan kepada anak-anak-Nya tidak terbatas. “Tuhan adalah satu-satunya yang aku miliki dan sumber harapanku” kata Josie, yang bunyinya sama dengan ayat 24. “Aku boleh mengumpul dan memberikan apa yang diperlukan setiap hari kerana aku mendapat kekuatan daripada Tuhan, yang kasih setia-Nya tidak pernah berkesudahan.”
Jika kita hidup taat kepada Tuhan, kita boleh mempunyai harapan, tidak kira apa pun yang bakal terjadi. Dengan hikmat-Nya yang sempurna, Dia tahu apa yang kita perlukan dan akan menyediakan yang terbaik untuk kita.