Bert meletakkan kad debitnya di atas bil restoran. Pelayan itu mengambilnya dan kemudian berhenti sejenak untuk bertanya, “Tunggu, siapa orang ini yang berkata, ‘Akulah jalan, kebenaran dan hidup?’ Sombongnya!” Bert menyedari pelayan itu berkata demikian kerana kata-kata Yesus dalam Yohanes 14:6 telah tertera pada kad debit yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan Kristiannya. Bert terhibur oleh respons pelayan itu, maka dia mengambil peluang untuk menjelaskan identiti “orang ini” dan persembahan korbannya untuk membawa kita kepada Tuhan.
Apabila kita bertemu dengan orang yang tidak tahu apa-apa tentang iman kita, kita mungkin membalas dengan ejekan ataupun penghakiman. Tetapi rasul Petrus mencabar kita, “Bersedia[lah] memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu” (1 Petrus 3:15). Kemudian dia memberi amaran, “Jawab dengan lembut dan hormat” (ayat 15). Dalam Kolose 4:6, Paulus menjelaskan kuasa respons sedemikian, “Perkataanmu hendaklah sentiasa penuh dengan kasih kurnia, digarami kebijaksanaan, supaya kamu tahu menjawab setiap orang dengan sewajarnya.” Seperti garam menambahkan rasa pada makanan, jawapan baik mengundang orang lain untuk berjinak-jinak dengan iman.
Soalan mungkin diajukan kepada kita dalam suasana yang tidak dijangkakan daripada orang yang sama sekali tidak tahu tentang Yesus. Apabila kita menjawab dengan lemah lembut dan penuh rahmat, jawapan kita akan memberikan kesan baik dan menarik minat para penyoal untuk ingin tahu lebih tentang iman kita.