Pada tahun 2014, para penduduk sebuah kampung di Norway telah mendirikan sebuah papan tanda lalu lintas yang menggalakkan orang ramai menyeberang jalan dengan cara yang menggelikan hati. Niatnya adalah untuk membawa sedikit kegelian hati kepada “pejalan kaki yang bodoh” dan orang yang melihat, bagi menceriakan hidup antara satu sama lain. Pandangan sepintas lalu terhadap waktu yang menggelikan hati ini ialah dorongan sejenak kepada orang-orang yang bermuram.

Alkitab mengakui bahawa kita akan mengalami musim kesukaran dan kesusahan, sehingga kita berasa lemah semangat dan sedih. Kitab Ratapan dan banyak ayat Mazmur menyuarakan kesengsaraan hidup seperti itu. Namun Alkitab juga menunjukkan kepada kita apa yang boleh memberi kita kegembiraan yang kekal dalam semua keadaan: kehadiran Tuhan. Daud menulis kata-kata Mazmur 16 dengan mata tertuju kepada masa depan yang kekal bersama-Nya. Kita yang hidup hari ini—selepas kematian dan kebangkitan Yesus—mengetahui kehadiran Tuhan sekarang melalui Roh Kudus.

Walaupun hanya untuk sementara waktu, jenaka dan sikap santai boleh menaikkan semangat kita pada masa kesusahan. Walau bagaimanapun, untuk mengalami kegembiraan kekal yang menyokong kita melalui saat-saat yang paling menyakitkan dalam hidup kita, kita mesti “bernaung” dalam Tuhan (ayat 1) yang menasihati dan mengajar kita (ayat 7). Dia tidak akan meninggalkan kita; sebaliknya, Dia akan “menunjukkan [kita] jalan hidup” dan memenuhi kita dengan sukacita (ayat 11).