Andrew Murray (1828-1917), iaitu seorang pastor yang dikasihi, pernah berkongsi bahawa pelbagai penyakit telah menjejaskan pokok-pokok oren di negara asalnya, Afrika Selatan. Bagi kebanyakan orang, semua pokok itu mungkin kelihatan baik, tetapi pakar pokok dapat melihat bahagian pokok yang reput dan itu bermaksud ia akan mengalami kematian secara perlahan. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan pokok yang berpenyakit adalah memenggal batang dan dahan daripada akar, dan mencantumkannya pada pokok yang baharu. Kemudian pokok itu boleh bertumbuh dengan subur dan menghasilkan buah.

Murray menghubungkan ilustrasi ini dengan surat rasul Paulus kepada Efesus. Dari penjara di Roma, Paulus menulis surat yang menyimpulkan Injil Yesus Kristus dengan mengagumkan. Sebagai seorang pemimpin rohani, hati Paulus terlihat dengan jelas ketika dia berdoa agar orang percaya dikuatkan melalui kuasa Roh Kristus dalam diri mereka, supaya Yesus mendiami hati mereka melalui iman (Efesus 3:16-17). Paulus ingin sekali melihat mereka “berakar umbi dalam kasih” dan akan memahami betapa dalamnya kasih Tuhan (ayat 17-18).

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, akar kita meresap jauh ke dalam tanah yang kaya dengan kasih Tuhan, yang nutrien menguatkan kita dan membantu kita berkembang. Dan semasa kita dicantumkan pada Yesus, Roh-Nya membantu kita menghasilkan buah. Kita mungkin terpaksa mengharungi badai yang melenturkan kita ke arah yang lain, tetapi kita boleh menahannya apabila kita berakar pada sumber kehidupan dan kasih.