Dalam filem fantasi sukan klasik yang bertajuk Field of Dreams, watak yang bernama Ray Kinsella bertemu dengan mendiang bapanya sebagai seorang atlet lelaki muda. Apabila melihatnya buat kali pertama, Ray bercakap kepada isterinya, Annie, “Saya hanya akan melihatnya bertahun-tahun kemudian, ketika dia sudah lelah dan tertekan oleh kehidupan. Tengok dia … Apa yang patut saya cakap kepadanya?” Adegan itu menimbulkan persoalan: Bagaimana rasanya melihat seseorang yang pernah kita kasihi—tetapi telah meninggal dunia—hidup semula dan penuh semangat?
Maria Magdalena mengalami pengalaman itu apabila dia pertama kali bertemu Yesus selepas Dia bangkit daripada kematian. Maria sedang menangis di sebelah kubur yang kosong ketika dia menoleh, “lalu melihat Yesus berdiri di situ, tetapi Maria tidak mengenal-Nya” (Yohanes 20:14). Mengapa dia tidak mengenali-Nya? Mungkin kerana air mata di matanya atau kerana waktu itu “masih gelap” (ayat 1). Kemungkinan besar, ini kerana ketika kali terakhir dia melihat Yesus, Dia berlumuran darah, dipukul dan diseksa hingga mati. Dia tidak pernah menyangka akan melihat Dia hidup lagi; begitu hidup sehingga Maria harus mengambil masa untuk memahami kebenaran yang mengagumkan itu.
Namun di sana Yesus berdiri, “dibangkitkan dalam ketidakbinasaan” (1 Korintus 15:42)! Dan ketika Yesus memanggil Maria dengan namanya, Maria mengenali Dia, bukan sahaja sebagai sahabatnya yang setia dan “Guru” (Yohanes 20:16), tetapi juga sebagai Tuhan kehidupan yang bangkit. Tuhan sentiasa mempunyai cara untuk mengejutkan kita dengan keajaiban-Nya. Kebangkitan-Nya daripada kematian untuk kita ialah kejutan yang terbesar.