Beribu-ribu orang di seluruh dunia berdoa untuk Shiloh, anak lelaki Sethie yang berusia tiga tahun, yang telah dimasukkan ke hospital selama berbulan-bulan. Apabila doktor berkata, ”otak Shiloh tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan,” Sethie menelefon saya. Dia berkata, “Kadang-kadang, saya takut saya tidak hidup dengan penuh iman. Saya tahu Tuhan boleh menyembuhkan Shiloh dan membenarkan dia pulang bersama kami. Saya juga menerima dengan tenang jika Tuhan menyembuhkannya dengan membawa dia ke syurga.” Saya meyakinkan Sethie bahawa Tuhan paling memahami pergelutannya, “Kamu telah menyerahkan segala keputusan kepada Tuhan. Itulah hidup yang penuh iman!” Beberapa hari kemudian, Tuhan membawa anaknya yang dikasihi itu ke syurga. Walaupun Sethie bergelut dengan kesedihan atas kehilangan anaknya, dia bersyukur kepada Tuhan dan ramai orang yang telah mendoakan anaknya. Dia berkata, “Saya percaya Tuhan masih baik dan Dia itu tetap Tuhan.”
Di dunia ini, sebelum Yesus datang kembali, kita akan “berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan” (1 Petrus 1:6). Kita perlu memproses emosi sebenar yang disebabkan oleh pengalaman yang amat menyayat dan menyakitkan. Walau bagaimanapun, setiap orang yang mengalami “kelahiran baru” dalam Kristus (ayat 3) boleh mendapat kekuatan dan kestabilan dalam hidup dengan percaya kepada Yesus, dan “merasai kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan” (ayat 8). Hasil terakhir daripada meletakkan iman kita kepada Kristus adalah, mendapatkan “penyelamatan jiwa” (ayat 9).
Roh Kudus memberikan kuasa kepada kita untuk mempunyai iman yang penuh—berserah sepenuhnya hidup dan situasi kita kepada Kristus melalui doa.