“Saya sangat tidak menyukai Hari Ibu,” kata Donna, ibu kepada tiga orang anak. “Perayaan ini cuma membuat saya mengenang kembali semua kekurangan dan kegagalan yang saya rasai dan alami sebagai seorang ibu.”
Donna memulakan kehidupannya sebagai seorang ibu dengan harapan yang tinggi. Namun realiti telah menurunkan jangkaannya. “Menjadi seorang ibu ialah perkara paling sukar yang pernah saya lakukan,” katanya. Dia mempunyai seorang anak yang sering membuatnya berasa jengkel dan marah.
Apabila Tuhan memilih Lea untuk menjadi ibu pemimpin bagi bangsa Israel, dia pasti juga mempunyai harapan yang tinggi untuk setiap anak-anaknya. Dia memberi empat anak lelaki pertamanya nama-nama yang sesuai dengan keadaannya yang sukar (Kejadian 29:32-35). Namun apabila bercakap tentang kisah-kisah gelap dalam Alkitab, peranan anak-anak lelaki Lea ini ialah orang jahat. Ada yang bersalah sebagai pembunuh (34:24-30) dan memperhamba orang (37:17-28). Bahkan Yehuda, iaitu anak lelaki Lea, adalah penjahat dalam salah satu kisah yang amat dahsyat dalam Alkitab (fasal 38).
Meskipun demikian, Tuhan tetap mendatangkan Mesias melalui keturunan Lea—termasuk Yehuda. Dalam keadaan yang paling sukar dan melalui orang yang paling tidak dijangka, Tuhan melakukan penebusan.
Donna mempelajari hal ini juga. Semasa dia menghadapi pelbagai cabaran untuk membesarkan anak-anaknya, dia tidak pernah menemui jawapan, “kecuali terus berusaha dan terus berdoa.” Apa pula terjadi kepada anak yang selalu membuatnya marah itu? Dia sudah dewasa sekarang, dan dia menyayangi dan menghormati ibunya. Ketika mengenang kembali, Donna berkata, “Mungkin anak ini dihantar kepada saya untuk mengajar saya sesuatu tentang diri saya dan sesuatu tentang Tuhan saya.”