Berikutan gempa bumi yang dahsyat di Turki pada Februari 2023, satu gambar yang menyayat hati muncul di media berita: seorang bapa duduk di tengah-tengah puing sambil memegang tangan yang terhulur daripada runtuhan batu—tangan anak perempuannya. Kita boleh melihat bucu tilam, tempat tidur anak perempuannya, dan bapa itu tetap menggenggam jari-jari anak perempuannya yang tidak bernyawa. Wajah si bapa muram; dukanya sangat mendalam.
Pada wajah bapa yang berkerut ini, saya melihat satu persamaan dengan Bapa kita yang di syurga. Kitab Kejadian memberitahu kita bahawa Tuhan berduka dengan kebinasaan yang disebabkan oleh dosa manusia: “ hal itu memilukan hati-Nya” (6:6, TB). Ketika menyatakan Penyelamat yang bakal datang, Yesaya berkata, “Dia … seorang yang penuh derita dan terbiasa dengan kesakitan” (53:3). Tuhan berduka demi kita, serta bersama kita, dan duduk di tepi runtuhan batu hidup kita untuk menjangkau kita: “Aku, TUHAN, Allahmu, memegang tangan kananmu” (41:13).
Apa pun kebinasaan yang anda hadapi sekarang—keadaan tragis, kehilangan orang kesayangan, atau mungkin padah dosa anda sendiri—ketahuilah bahawa Tuhan berduka bersama anda. Apa pun gempa bumi yang telah menggegarkan hidup anda, lihatlah bahawa Tuhan menggapai tangan anda. Apa pun kesedihan anda sekarang, dengarlah Tuhan yang penuh kasih berfirman, “Jangan takut, Aku akan menolong engkau” (ayat 13).