William Temple, seorang uskup dari England pada abad kesembilan belas, pernah sekali mengakhiri khutbahnya dengan memetik kata-kata dalam lagu pujian, “Memandang Salib Rajaku” (When I Survey the Wondrous Cross) kepada para mahasiswa di Universiti Oxford. Akan tetapi, dia memberikan peringatan supaya mereka tidak memandang ringan akan lagu itu. “Jika anda bersungguh-sungguh akan maksud dalam kata-kata lagu ini, nyanyilah sekuat-kuatnya,” kata Temple. “Jika tidak, sila diam sahaja. Namun jika anda bersetuju dengan kata-kata lagu ini, walaupun hanya sedikit, dan ingin memahami maksudnya dengan lebih mendalam, nyanyikannya secara sangat lembut.” Para hadirin menjadi senyap apabila mereka mula memerhatikan lirik lagu itu. Perlahan-lahan, beribu-ribu suara mula menyanyi dalam bisikan, malah menyanyikan baris terakhir dengan keyakinan: “Kasih kudus menuntutku, jiwa dan hidupku bagi-Nya.”
Para mahasiswa Oxford itu memahami realiti bahawa mempercayai dan mengikut Yesus ialah satu pilihan yang serius, kerana ini bermaksud kita menerima kasih Tuhan yang begitu besar, yang menuntut kita mempersembahkan segala-galanya. Mengikut Kristus memerlukan seluruh hidup kita dan seluruh jiwa raga kita. Yesus terus terang memberitahu murid-murid-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku” (Matius 16:24). Tiada sesiapa patut membuat pilihan ini secara sambil lewa.
Namun demikian, mengikut Yesus juga merupakan jalan ke arah sukacita kita yang paling besar. Dengan hidup bersama Yesus, kita akan menemukan kehidupan yang benar-benar kita inginkan. Ia nampaknya seperti satu paradoks hebat. Bagaimanapun, jika kita memberikan respons kepada kasih Tuhan, percaya kepada Kristus, dan melepaskan tuntutan kita yang mementingkan diri sendiri dan pendek akal, kita akan menemukan kehidupan yang kita dambakan (ayat 25).