Jack membenci sekolah. Pelajaran mengenai algebra, tatabahasa dan jadual berkala membosankannya. Akan tetapi, dia suka membina rumah. Maka bapanya membawa dia pergi bekerja pada musim panas, dan Jack berasa seronok sekali. Dia baru berusia enam belas tahun, tetapi dia tahu tentang simen, kerikil, dan cara membentuk dinding. Apakah bezanya antara sekolah dan tapak pembinaan? Kasih. Jack tidak gemar untuk pergi ke sekolah, tetapi dia gemar akan pembinaan. Kasih memarakkan Jack untuk mengejar pengetahuan tentang pembinaan.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita harus “mengasihi kebenaran” (2 Tesalonika 2:10). Paulus berkata bahawa manusia leluasa (atau Manusia Jahat) itu akan menggunakan “tanda dan keajaiban palsu” (ayat 9) untuk menyesatkan “orang yang binasa” (ayat 10). Mengapakah mereka binasa? Ini kerana “mereka enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang dapat menyelamatkan mereka” (ayat 10). Kegagalan mereka untuk mengasihi kebenaran telah membutakan mereka untuk mengetahui kebenaran. Mereka akan disesatkan (ayat 11).

Apakah yang kita tahu? Soalan penting ini bergantung pada soalan yang lebih asas: Apakah yang kita kasihi? Minat kita mencenderungkan hati kita dan mengarahkan fikiran kita. Kita menghargai apa yang kita kasihi. Kita melindunginya dan tekun mencarinya. Jika kita mengasihi kebenaran dan hikmat, kita akan mencarinya seperti emas yang berharga (Amsal 3:13-14; 4:7-9). Kebenaran dan hikmah akan menjaga kita. “Jangan abaikan hikmah, maka hikmah akan memelihara kamu; kasihilah ia, maka ia akan menjaga kamu” (4:6).

Apakah hikmat sejati? Yesus berkata bahawa Dialah hikmat sejati. “Akulah jalan, kebenaran dan hidup” (Yohanes 14:6). Soalan kita yang paling penting ialah siapakah yang kita kasihi? Kasihilah Yesus dan anda akan mengetahui jalan-Nya. Dia akan menjaga hidup anda dengan membimbing anda kepada kebenaran-Nya.