Elliot bersungguh-sungguh memberitahu orang lain tentang Yesus. Semasa mengajarkan kitab 2 Timotius selama seminggu kepada para pemimpin gereja di sebuah negara Asia Selatan, dia mengingatkan mereka tentang kata-kata perpisahan Paulus kepada Timotius. Elliot menggesa mereka untuk tidak berasa malu dengan berita baik tetapi turut menanggung penderitaan dan penganiayaan demi Injil, seperti yang dilakukan oleh Paulus (1:8-9). Beberapa hari kemudian, Elliot mendapat tahu bahawa penginjilan dan penganutan kepercayaan Kristian telah diharamkan di negara itu. Oleh sebab sangat mengambil berat akan keadaan mereka, dia berdoa agar para pemimpin ini tabah, berani dan dengan segera terus memberitakan Injil.

Paulus sedar akan bahaya yang wujud apabila memberitakan Injil. Dia berkali-kali dipenjarakan (ayat 8, 16) dan telah banyak menderita disebabkan oleh ajarannya (ayat 11-12)—termasuk dipukul, disebat dan direjam (lihat 2 Korintus 11:23-29). Akan tetapi, tiada apa pun yang dapat menghalang Paulus daripada memberitahu orang lain tentang Yesus. Apa falsafahnya? “Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan” (Filipi 1:21). Dia hidup untuk memberitahu orang lain tentang Kristus, tetapi dia juga tahu bahawa jika dia mati, dia akan bersama dengan Yesus. Paulus mengingatkan Timotius bahawa Roh Kudus akan memberinya kuasa (2 Timotius 1:7).

Tuhan memanggil semua orang yang percaya kepada Yesus, di mana-mana sahaja kita berada—di dalam atau di luar negeri—untuk memberitahu orang lain tentang Yesus. Kita mungkin akan menderita, tetapi Dia ada di sisi kita.