Bandar kami hampir menjadi gelap gelita selepas ribut ais besar-besaran merobohkan bermeter-meter talian elektrik, sehingga ramai rakan kami tiada bekalan elektrik untuk memanaskan rumah mereka di tengah-tengah musim sejuk. Banyak keluarga ingin sekali melihat trak pembaikan datang ke kawasan kejiranan mereka untuk memulihkan bekalan elektrik. Kemudian, saya mendapat tahu bahawa tempat letak kereta di sebuah gereja telah menjadi pusat kawalan operasi sementara, yang berperanan untuk mengatur trak-trak pembaikan pergi ke rumah yang memerlukan bantuan.

Berita tentang trak pembaikan tersebut memperingatkan saya akan perintah Yesus kepada murid-murid-Nya dalam kitab Kisah Para Rasul. Selama empat puluh hari selepas kebangkitan-Nya, Kristus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya untuk menggalakkan dan mengajar mereka tentang kerajaan Tuhan (Kisah Para Rasul 1:3). Sebelum Yesus kembali ke syurga, Dia memberi mereka satu janji terakhir: “Kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu” (ayat 8).

Kristus berjanji bahawa kuasa Tuhan yang maha besar akan tersedia kepada murid-murid tersebut melalui Roh-Nya. Bagaimanapun, tujuan mempunyai kuasa itu bukan untuk kepentingan mereka sendiri. Sebaliknya, murid-murid Yesus membiarkan Tuhan memperkasakan mereka dengan misi untuk memberitahu orang lain bagaimana mereka dapat mengalami semula kuasa dan kasih Tuhan yang terputus akibat dosa.

Apabila kita pergi kepada komuniti kita, kita mempunyai kuasa dan panggilan yang sama. Dengan kuasa Roh Kudus, kita dapat mengambil berat terhadap mereka yang menderita dan berkongsi bagaimana mereka juga dapat mempunyai akses kepada kuasa Tuhan.