Dalam perjalanan saya untuk menaiki tren eletrik ke tempat kerja beberapa tahun yang lalu, saya melihat seorang wanita dengan seekor anjing yang kelihatan ganas menuju ke arah saya. Saya dibesarkan di sekeliling anjing peliharaan, jadi saya biasanya tidak takut dengan anjing, tetapi anjing itu kelihatan mengancam. Apabila anjing itu semakin dekat, dia menyalaki saya. Saya cuba mentertawakannya. Tetapi kemudian dia menerjang saya, jadi saya menjerit. Syukurlah, anjing itu tidak boleh membahayakan saya kerana dia tidak dapat mendekati saya. Pemiliknya memegang erat talinya.
Pengalaman yang menakutkan itu mengingatkan saya bahawa sebagai orang yang percaya kepada Yesus, Iblis juga “terikat” tetapi menunggu untuk menyerang jika kita memberinya peluang. Dalam 1 Petrus, rasul Petrus memberi amaran kepada kita, “kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (ayat 8). Dia menggeram, menderam dan menerkam kita untuk cuba menakut-nakutkan kita, serta ingin melumpuhkan kita dengan ketakutan, tetapi kita boleh berdiri teguh dalam iman kita dan “melawan dia” (ayat 9).
Apabila anda merasakan musuh sedang mencemuh atau menggoda anda, ingat ini: dia bukan tandingan Yesus. Kita boleh berseru kepada-Nya dan Dia akan menolong kita. Dia “sendiri akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu” (ayat 10).
Apabila kita diserang secara rohani, kita boleh memilih untuk tetap percaya kepada Yesus dan tidak perlu takut kerana Dia sentiasa bersama kita.