Situasi kelihatan seperti tiada harapan lagi untuk Jem, iaitu anak perempuan Amy dan Alan. Oleh sebab dilahirkan dengan keadaan yang dipanggil trisomi-18, dia dijangka akan mati dalam beberapa hari atau minggu. “Tidak ada guna merawatnya,” kata doktor itu dengan dingin. Tetapi ibunya berkata, “Saya mempunyai impian yang lebih besar untuknya.” Mereka membawa Jem pulang dan menyayanginya. Dan mereka berdoa.
Enam tahun kemudian, Jem memerlukan pembedahan untuk membuang satu ketumbuhan besar yang telah ditemui. Kemudian—doktor yang sama masuk. “Saya tahu apa yang anda fikirkan,” katanya, “tetapi saya meminta peluang kedua.” Dia mengaku dia salah mengenai Jem. “Saya mahu peluang untuk membuat penebusan,” katanya. Amy dan Alan boleh sahaja berkata tidak. Tetapi mereka memahami kuasa pengampunan Tuhan.
Para nabi dalam Perjanjian Lama sering membawa mesej penghakiman Tuhan. Tetapi terjalin di seluruh mesej itu adalah tema yang tidak dapat dihalangi tentang kasih, pengampunan, dan penebusan Tuhan. Yesaya mendedahkan dosa Yehuda (44:6-20) tetapi tiba-tiba mengalihkan fokus. Dengan menyampaikan firman Tuhan, dia berkata, “Kembalilah kepada-Ku, kerana Aku sudah menebus engkau” (ayat 22). Sifat Tuhan tidak akan membenarkan Dia meninggalkan umat-Nya. “Aku telah menjadikan kamu,” Dia berkata, “Engkau tidak akan Kulupakan” (ayat 21). Kesimpulannya: “Bersorak-sorailah, wahai langit, kerana TUHAN telah melakukan hal itu; … kerana TUHAN telah menebus Yakub” (ayat 23).
Pembedahan Jem tidak menemui sebarang ketumbuhan. “Sungguh ajaib!” kata doktor. Inilah kuasa doa. Kuasa daripada Tuhan, penebus kita.